5.0 SISTEM
SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA
Pembangunan industri francais di
Malaysia telah mengorak langkah dengan mewujudkan Program Pembangunan Francais
(PPF) pada 4 Ogos 1992, di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Jabatan
Perdana Menteri. Antara pelan tindakan di bawah PPF termasuklah menubuhkan
Persatuan Francais Malaysia (MFA) pada 18 Januari 1994 dengan tujuan untuk
mengawal selia industri ini secara dalaman (self regulatory) dan penggubalan
Akta Francais Malaysia 1998.
Seterusnya pada awal tahun 2012,
kerajaan mengambil inisiatif pemacu untuk membangunkan industri francais di
Malaysia dengan merangka Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN)
2012-2016. PIPFN ini merangkumi aspek meningkatkan daya saing francais Malaysia
di dalam dan di luar negara, melaksanakan transformasi perniagaan melalui
francais, membangunkan kecekapan modal insan serta mengukuhkan ekosistem
francais yang lebih dinamik.
Selaras dengan pelaksanaan PIPFN
ini, pihak kerajaan telah mempercepatkan proses pendaftaran francais dengan
memendekkan tempoh kepada tujuh hari bekerja dengan syarat semua dokumen dan
syarat dipenuhi dengan mewujudkan satu sistem atas talian pendaftaran francais
iaitu MyFEX. MyFEX direka bertujuan untuk memberikan keselesaan dan
memudahcarakan proses permohonan baru lesen francais. Peruntukan juga telah
disediakan untuk mempromosikan francais tempatan Malaysia melalui pelbagai
program seperti Franchise Malaysia Goes Global, membangun dan mengembangkan
francais mikro melalui Francais Komuniti, 1Malaysia Stesen Francais serta
menyediakan kemudahan pinjaman khas untuk francais mikro; Skim Pinjaman Kecil
Francais.
Pihak Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi & Kepenggunaan KPDNKK menubuhkan Akademi Perbadanan
Nasional Berhad (PNS), untuk melahirkan usahawan francais yang mantap ilmu
pengetahuannya serta mempunyai kemahiran yang tersendiri. Diantara program
dibawah akademi ini adalah Program Latihan Softskill, Program Latihan Francais
dan Program Kesedaran yang merangkumi forum dan perkongsian ilmu. PNS
berperanan melaksana dan menjadi peneraju dalam membangunkan industri francais
di Malaysia dibawah seliaan KPDNKK, termasuklah menyediakan kemudahan pembiayaan.
Diantara skim pembiayaan yang ditawarkan oleh PNS adalah skim pembiayaan
francais, skim pembiayaan kontrak, skim pembiayaan lisensi, skim pembiayaan
franciasor dan skim pembiayaan prafrancais. Selain dari itu, PNS juga turut
memberi sokongan dan khidmat nasihat terhadap perniagaan francais termasuk
perkongsian ilmu perniagaan dan pengalaman daripada pihak yang telah berjaya
bertujuan untuk membantu dan menggalakkan orang ramai untuk menjadi usahawan
francais. Perunding boleh membantu dengan menyediakan penyelesaian hujung ke
hujung untuk francaisor menukar perniagaan sedia ada bagi memenuhi kriteria ROF
untuk menjadi francaisor, membantu menyerahkan pendaftaran francais mereka dan
memantau prestasi outlet francaisi untuk tempoh tertentu. Khidmat panel perunding
ini digunakan dalam program penukaran francais PPFT, DBFP dan Projek Siap Guna.
No comments:
Post a Comment